Archive for February 2009

Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia

February 19, 2009

1.     Malaysia adalah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Banyak aktiviti perdagangan yang dijalankan dengan negara luar, samada import mahupun eksport terutamanya dengan US. Oleh sebab itu, apabila US sebagai antara negara yang mempunyai saiz ekonomi yang terbesar di dunia mengalami krisis kewangan dan ekonomi, Malaysia sebagai rakan dagangan sudah pastilah turut merasai kesannya. Kesan ini juga dirasai oleh kebanyakan negara di dunia dan menambahkan impak yang dirasai oleh Malaysia. Siapa yang kata ekonomi Malaysia tidak terjejas? Siapa? sila letak jawatan ye. Kita dah hilang banyak masa untuk recover kerana asyik menafikan fakta ini! Denial Syndrome?

2.     Bagi menghadapi keadaan ini kerana menyedari negara tidak boleh bergantung kepada kegiatan ekonomi di peringkat antarabangsa, Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion bagi memacu dan menggiatkan ekonomi dalam negara.

3.     Namun, saya tidak nampak satupun langkah yang diumumkan dalam pakej tersebut dapat menjana ekonomi domestik Malaysia. Kenapa?

4.     Saya suka melihat ekonomi dari perspektif agihan kekayaan/pendapatan di kalangan unit-unit di dalam negara. Secara umumnya saya melihat ekonomi domestik Malaysia digerakkan oleh tiga unit asas, iaitu  1. Perusahaan, 2. Isi rumah dan 3. Kerajaan.

5.     Ekonomi yang digerakkan oleh Perusahaan kebanyakannya adalah dalam bentuk jual beli antara sesama Perusahaan dan Kerajaan dan juga bayaran cukai kepada Kerajaan. Maksudnya, kebanyakan sumber kewangan yang dimiliki oleh Perusahaan untuk menjana ekonomi akan berlegar di antara sesama Perusahaan dan Kerajaan. Hanya sebahagian kecil sumber kewangan akan pergi kepada Isi rumah dalam bentuk gaji, faedah kewangan dan bonus.

6.     Ekonomi yang digerakkan oleh Kerajaan kebanyakannya adalah dalam bentuk kerja dan perkhidmatan yang dibeli, dan kebanyakannya disediakan oleh perusahaan. Maksudnya kebanyakan sumber kewangan yang dimiliki oleh Kerajaan akan pergi kepada Perusahaan. Walau bagaimanapun, terdapat juga ekonomi yang digerakkan oleh Kerajaan yang faedahnya dapat secara langsung kepada Isi rumah, iaitu gaji, elaun dan bonus yang dibayar kepada penjawat awam dan juga bantuan kepada rakyat seperti biasiswa dan bantuan sara hidup kepada golongan miskin. Lain-lain bantuan kepada rakyat dalam bentuk latihan dan bantuan bukan kewangan seperti bantuan modal saya kategorikan  sebagai ekonomi yang faedahnya pergi kepada Perusahaan.

7.     Ekonomi yang digerakkan oleh Isi rumah, adalah dalam bentuk pembelian barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Perusahaan dan Kerajaan. Maksudnya, sumber kewangan yang kecil jumlahnya yang diperolehi oleh Isi rumah dalam bentuk gaji, faedah kewangan dan bonus yang diterima akan pergi semula kepada Perusahaan dan Kerajaan. Daripada jumlah yang sedikit ini, ada juga yang pergi semula kepada Isi rumah, tapi sangat sedikit juga jumlahnya.

8.     Mesej yang saya ingin sampaikan adalah, dari segi agihan kekayaan, hanya sebilangan orang yang memiliki Perusahaan mempunyai sumber kewangan yang banyak manakala, kebanyakan orang yang makan gaji yang mewakili Isi rumah mempunyai  sumber kewangan yang sedikit. Kerajaan, selain daripada menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan asas seperti antaranya pendidikan, kesihatan dan keselamatan, seharusnya mengimbangai agihan kekayaan ini. (prinsip Pareto 80:20. Pareto, ahli falsafah Eropah kata pada tahun 1800-an, 80% kekayaan dimiliki oleh sebilangan 20% masyarakat manakala baki 20% kekayaan dikongsi oleh 80% masyarakat. Tapi, itu dulu, saya ingat sekarang ni lebih lagi. Mungkin 90:10 atau 95:5).

9.     Apabila kita memperkatakan mengenai menjana ekonomi domestik, kumpulan Isi rumah yang memiliki sumber kewangan yang sedikit inilah yang paling besar sumbangannya dalam menjana ekonomi domestik kerana mereka membelanjakan hampir keseluruhan sumber kewangan mereka kepada ekonomi domestik. Beli barangan tempatan, makanan tempatan, rumah dalam negara, melancong dalam negara (itupun kalau mampu) dan banyak lagi yang bersifat domestik. Ini berbeza dengan kumpulan Perusahaan yang memiliki sumber kewangan yang banyak yang selain daripada modal untuk perniagaannya (inipun tak semua bersifat domestik) mereka membelanjakan gaji dan keuntungan mereka keluar negara. Beli barangan jenama terkenal dari luar negara, kereta, jam, pakaian, makanan, rumah, melancong ke luar negara, pendek kata serba serbi luar negara. Oleh sebab itu, sumbangan mereka ni kepada ekonomi dalam negara adalah terbatas kepada modal bagi perusahaan yang mereka jalankan dalam negara.

10.     Opssss, saya terlupa dua kumpulan lagi. Ini cebisan daripada Isi rumah juga tapi kurang menyumbang kepada ekonomi domestik. Mereka ni kumpulan orang yang digelar pendatang asing, samada dengan atau tanpa izin, Mereka ini akan menyalurkan kebanyakan sumber kewangan yang mereka miliki ke luar negara, ke negara asal mereka. Yang kedua adalah kumpulan Isi rumah yang pendapatannya besar, biasanya pengurusan atasan di dalam sesuatu organisasi samada Perusahaan mahupun Kerajaan. Mereka ini sifat perbelanjaannya adalah mirip kepada kumpulan Perusahaan tadi kerana memiliki sumber kewangan yang agak banyak dan ingin menjaga imej organisasi yang mereka wakili.

11.     Sebab ini jugalah saya mengatakan pada point ke 3, saya tidak nampak pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh Kerajaan akan dapat menjana ekonomi dalam negara, kerana, kebanyakan langkah yang diumumkan tadi adalah lebih tertumpu kepada Perusahaan dan akan memberikan impak seperti point ke 5 dan ke 6.

12.     Seharusnya kita boleh meniru Dasar Ekonomi Baru yang menetapkan 30% kuota kekayaan negara kepada golongan bumiputera sebagai langkah untuk merangsang ekonomi domestik negara. Maksudnya, 30% kekayaan ini yang dimiliki oleh bumiputera akan turut dirasai oleh bukan bumiputera kerana mereka menguasai ekonomi negara secara mutlak dalam semua bidang. (Sudah tentulah penguasaan ekonomi ini atas usaha golongan bukan bumiputera itu sendiri, begitu juga dengan 30% untuk bumiputera adalah dengan usaha mereka. Saya takkan bincang lanjut perkara ini dalam post kali ini.) Sekiranya tiada dasar ini, bayangkan apa akan berlaku kepada rakyat yang merupakan majoriti dalam Malaysia dan kesannya kepada negara.

13.     Berbalik kepada pakej rangsangan ekonomi tadi, apa yang saya maksudkan dengan meniru DEB adalah Kerajaan seharusnya menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan kumpulan Isi rumah (dan ini sepatutnya telah lama dilakukan memandangkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin semakin melebar apatah lagi dengan kesan kenaikan harga barang makanan dan kos bahan api yang telah melonjakkan kadar inflasi). Ini kerana, kumpulan Isi rumah inilah yang menyumbang kepada ekonomi domestik negara dan perbelanjaan yang mereka buat ini akan akhirnya turut dirasai oleh kumpulan Perusahaan sebagai penyedia kepada barangan atau perkhidmatan yang dibeli oleh kumpulan Isi rumah.

14.     Langkah ini akan memberikan kesan seperti point ke 7 yang bagus untuk ekonomi domestik negara. Bukannya Kerajaan membuat polisi seperti mengurangkan caruman EPF pekerja kepada kadar 3%  bagi menggalakkan rakyat berbelanja. Ini bukan menambah pendapatan Isi rumah, tetapi menyalah gunakan sumber yang sepatutnya akan digunakan oleh rakyat di hari tua untuk menutup masalah semasa yang dihadapi. Ini hanya akan dapat menutup sebahagian masalah untuk tempoh sementara dan akan menimbulkan masalah lain di masa hadapan apabila kebanyakan rakyat tidak mempunyai tabungan yang mencukupi untuk menyara sisa hidup di hari tua. Bebannya akan berbalik kepada Kerajaan yang akan terpaksa menyediakan safety social net untuk golongan ini nanti. Begitu juga dengan skim-skim pengeluaran caruman EPF yang lain.

15.     Kerajaan harus menyelesaikan isu jurang pendapatan ini dalam pakej rangsangan ekonomi atau Kerajaan tidak akan mampu untuk mengharungi krisis ekonomi yang dihadapi sekarang.

16.     Langkah-langkah yang boleh diperkenalkan oleh Kerajaan adalah antaranya……. tungguuuuuu posting akan datang. Tapi, saya fikir kalau saya boleh perkenalkan langkah yang berkesan, mungkin Menteri Kewangan kena letak jawatan untuk memberi laluan kepada saya sebagai Menteri Kewangan baru. Hehehe.

Silalah berikan komen tuan-tuan dan puan-puan para pembaca kepada pandangan saya ini bagi tujuan brainstorming. Ini hanya pandangan saya, tak semestinya betul, ye tak?