Hak Keistimewaan Melayu/Bumiputera

1.       Hak Keistimewaan Melayu (atau lebih tepat lagi disebut kedudukan istimewa di dalam Perlembagaan) adalah beberapa perkara yang telah ditetapkan di dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang antaranya berkaitan jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, keistimewaan pendidikan atau latihan, lesen, permit dan lain-lain kemudahan khas yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan contohnya, seperti penetapan matlamat 30% pemilikan ekuiti melalui Dasar Ekonomi Baru, kepada Melayu/Bumiputera.

2.       Dalam konteks semasa, perkara ini dianggap istimewa kerana tiada bangsa lain yang mendapat layanan seumpamanya selain rakyat Malaysia berbangsa Melayu/Bumiputera. Namun, dari perspektif sejarah, adakah perkara 153 ini sesuatu yang istimewa?

3.       Sebelum kemerdekaan, tidak timbul soal kedudukan istimewa Melayu kerana merekalah satu-satunya bangsa yang merupakan warganegara kepada Tanah Melayu yang dijajah pada masa itu. Bangsa lain tidak boleh dianggap dijajah kerana mereka bukanlah warganegara.

4.       Walau bagaimanapun, sejurus sebelum negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu telah dipaksa menerima bangsa lain sebagai warganegara yang berkongsi hak yang sama dan sebagai tukaran diwujudkan perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5.       Dalam perspektif sejarah ini, berbeza dengan perenggan 2, kedudukan istimewa dalam perkara 153 ini nyata bukanlah sesuatu yang istimewa kerana daripada satu-satunya bangsa yang merupakan warganegara, orang Melayu terpaksa menerima bangsa lain sebagai warganegara yang akan berkongsi negara ini. Sebaliknya, bangsa Cina dan India lah yang mendapat kedudukan istimewa apabila daripada sekadar pendatang yang tidak mempunyai hak ke atas negara ini, mereka telah diterima sebagai warganegara. Bahkan Perkara 3 telah turut menjamin bahawa walaupun agama Islam sebagai agama Persekutuan, lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman damai tanpa gangguan (lebih tepat lagi agama buddha, hindu dan kristian) dan Perkara 152 turut menjamin bahawa mereka ini dibenarkan menggunakan, belajar dan mengajar bahasa lain (lebih tepat lagi bahasa ibunda masing-masing). Dahlah dapat jadi warganegara dengan percuma, boleh kekalkan bahasa dan agama yang dianuti pula. Istimewa sungguh.

6.       Bagi orang Melayu pula, apa yang disebut kedudukan istimewa itu sebenarnya adalah KOMPROMI orang Melayu (mungkin disebut kedudukan istimewa bagi memujuk hati orang Melayu yang sedang membara pada masa itu) memandangkan mereka terpaksa berkongsi negara ini dengan bangsa lain. Tiada yang istimewa pun, takde apa-apa tambahan. Kurang lagi adalah. Dan hasilnya hari ini, instead of 100% pemilikan ekuiti, orang Melayu/Bumiputera hanya boleh mimpi nak capai 30% sahaja pemilikan ekuiti.

7.       Saya menulis artikel ini bukanlah bertujuan untuk menghasut atau membangkitkan api perkauman, namun atas reaksi terhadap rakan bengsa lain yang nampaknya seperti dirasuk dalam memperjuangkan kepentingan mereka sehingga menyinggung perasaan dan menyakitkan hati orang Melayu. Semoga tulisan ini dapat menyedarkan mereka daripada lamunan atau rasukan.

8.       Saya percaya pasti ada saja jawapan dari rakan berbangsa lain seperti “itu adalah sejarah”, “kamipun lahir di Malaysia, ini tanah tumpah darah kami”, “ini zaman global di mana negara perlu mempunyai daya saing” dan banyak lagilah. Malah saya percaya rakan berbangsa lain juga mempunyai banyak persoalan yang memerlukan penjelasan, takpelah, samalah macam kami orang Melayu.

9.      Apapun isu dan perkara yang hendak dibangkitkan, sejarah tidak boleh dilupakan sama sekali. Rakan bangsa lain sepatutnya faham bahawa perkara pokok di Malaysia ini adalah kebimbangan orang Melayu bahawa Malaysia akan menjadi seperti Singapura di mana Melayu telah dipinggirkan dan menjadi warganegara kelas ke3, bukan kelas kedua lagi dah, sekiranya kuasa politik jatuh ke tangan bangsa lain. Bukankah ini satu penindasan? Bolehkah rakan berbangsa lain jelaskan apa gunanya Malaysia maju sekiranya kami orang Melayu yang merupakan majoriti dipinggirkan sedangkan negara ini adalah warisan nenek moyang kami. Adakah kami ini tunggul kayu yang tidak akan bereaksi? Boleh tolong jelaskan?

10.      Jangan gunakan alasan Melayu malas dan Melayu tidak berkemampuan untuk bersaing dalam era globalisasi, sejarah telah membuktikan bahawa Kerajaan Melayu merupakan Kerajaan yang maju dan makmur. Dan pada hari ini, ramai orang Melayu yang telah terbukti berjaya dalam pelbagai bidang, malah Petronas yang majoritinya diuruskan oleh Melayu, walaupun bukanlah syarikat yang mengendalikan sumber minyak dan gas asli yang terbesar, mampu muncul sebagai syarikat yang mencatat keuntungan kedua terbesar seperti yang dilaporkan oleh majalah Forbes.

11.      Mungkinkah kegagalan orang Melayu dalam bidang ekonomi adalah kerana halangan perdagangan secara sistematik yang tidak kelihatan yang diwujudkan oleh mereka yang menguasai ekonomi negara? Dan percayakah, inilah punca Kerajaan menetapkan sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera (bukan Melayu sahaja tau) dan menetapkan dasar perolehan yang memihak orang Melayu/Bumiputera. Apapun caranya, kekayaan itu akhirnya akan dapat ke tangan bangsa lain yang nyata telah menguasai segenap bidag ekonomi Malaysia.

12.      Ya saya sedar dan insaf bahawa dalam pelaksanaan untuk membantu Melayu/Bumiputera terdapat banyak korupsi dan penyelewengan atau dalam bahasa yang lebih halus ketirisan. Ini tidak dapat dinafikan. Saya juga sedar dan insaf bahawa terdapat bangsa selain Melayu/Bumiputera yang masih dibelenggu kemiskinan dan wajib dibantu. Tetapi pelaksanaan lah yang perlu kita ubah, bukan dasarnya. Dasar Ekonomi Baru adalah untuk semua kaum. Dimana logiknya kalau dasar yang dapat menjamin keamanan negara diubah kerana kegagalan pelaksanaannya? Apa akan jadi kepada negara sekiranya rakyat majoriti tidak dibela berikutan perubahan dasar? rusuhan kaum? kadar jenayah meningkat? siapa yang akan bertanggungjawab?

13.     Pada masa yang sama, saya menyeru Kerajaan agar dapat mewujudkan satu sistem persekolahan nasional bagi memastikan perpaduan dan integrasi di kalangan rakyat pelbagai bangsa. Ini bukan untuk menafikan hak bangsa tertentu untuk mempelajari bahasa dan budaya masing-masing. Ingat, Perlembagaan telah menjamin hak rakyat Malaysia untuk mempelajari lain-lain bahasa selain bahasa Kebangsaan. Namun, Kerajaan tidak mampu untuk menampung keperluan pendidikan yang unik untuk semua bangsa. Oleh sebab itu, sistem persekolahan nasional adalah kritikal untuk membina rakyat yang bersatu padu, berintegrasi dan saling faham-memahami. Saya berpendapat bahawa sistem persekolahan jenis kebangsaan inilah yang menjadi punca rakyat tidak bersatu padu dan berintegrasi sehingga mudah dihasut dengan api perkauman.

14.      Akhir kata, saya berharap sangat agar kita tidak lagi membangkitkan isu perkauman dengan sewenang-wenangnya dan secara tidak bertanggungjawab. Apa-apa masalah yang hendak diselesaikan hendaklah dengan secara berhikmah dan bersopan serta bertata susila dan rasional. Semua bangsa hendaklah tidak mementingkan diri sendiri sahaja serta jujur dan ikhlas dalam percakapan dan perbuatan. Jangan cakap dan buat sesuatu benda tetapi dalam hati lain.

Fikir-fikirkanlah.

Explore posts in the same categories: Uncategorized

Comment: